Kawasan jual beli sementara diperuntukkan dekat jambatan Long Lama untuk penggemar durian

Kelihatan Dennis (duduk tiga dari kiri) bersama Baru (duduk empat dari kanan) selepas menghadiri mesyuarat di Long Lama.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Feb: Penduduk sekitar pekan Long Lama dan kawasan berhampiran telah diingatkan agar tidak berpusu-pusu mengunjungi pekan ini dalam kerancakan musim buah-buahan terutama untuk menjamu durian.

Ingatan ini dititipkan oleh wakil rakyat ADUN Telang Usan Dennis Ngau hari ini, bimbang jangkitan penyakit Covid-19 menular ke kawasan pedalaman sekirannya langkah awal tidak diambil.

Advertisement

“Memandangkan sekarang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), adalah penting untuk semua mematuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi mengekang jangkitan Covid-19,” jelasnya.

Dennis menambah, bagi memudahkan penggemar buah durian datang dan membeli Raja Buah ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Telang Usan telah memutuskan membuat satu kawasan sementara berhampiran Jambatan Pehin Seri Adenan Satem (atau Jambatan Long Lama) bagi menempatkan buah durian dari seluruh pekan ini (Long Lama) untuk dijual.

“Tapak pengumpulan sementar ini kita percaya dapat memudahkan urusan jual beli diantara pelanggan dan penjual buah durian, tanpa perlu masuk ke pekan Long Lama,” katanya.

Durian dari Long Lama, telah sekian lama mengamit hati pengemar buah tersebut kerana keenakan isinya.

Dalam pada itu juga, Dennis mengingatkan pengunjung luar Pekan Long Lama supaya mendapatkan permit pergerakan PKPB sebelum berkunjung ke sini bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Dalam pada itu juga, Dennis berkata adalah mandatori untuk setiap kontraktor dan pekerja mereka yang menjalankan projek-projek pembangunan di kawasan rumah panjang-rumah panjang di Long Lama untuk mendapatkan permit perjalanan PKPB dan melakukan ujian saringan terlebih dahulu di klinik atau hospital sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan.

“Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang jangkitan Covid-19,” katanya.

Dennis berkata demikian setelah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Telang Usan hari ini yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerahnya Baru Tai.

Turut hadir wakil dari berbagai jabatan dan agensi berkaitan termasuk tuai rumah dan ketua kampung. — DayakDaily

Advertisement