Kaunter perkhidmatan JBALB beroperasi 8 pagi hingga 1 tengahari mulai 29 Jun

Infografik JBALB.

KUCHING, 28 Jun: Kaunter perkhidmatan di Ibu Pejabat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak beroperasi dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari pada Isnin hingga Khamis mulai 29 Jun 2021.

Manakala pada hari Jumaat, kaunter beroperasi dari jam 8 hingga 11.45 pagi, dan ditutup pada Sabtu dan Ahad.

“Kaunter hanya dibuka khusus untuk urusan penerimaan dokumen rasmi.


“Orang awam yang tidak mempunyai urusan penting dan segera adalah dinasihatkan untuk tidak mengunjungi premis atau terus menghubungi JBALB Call Centre,” kata JBALB dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut JBALB, ini selaras dengan keputusan pelanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam.

Menerusi satu kenyataan berasingan hari ini, JBALB turut memaklumkan bahawa Pengoperasian Kaunter Perkhidmatan di Pejabat JBALB Bahagian adalah ditutup sehingga diberitahu kemudian.

Justeru para pengguna dinasihatkan untuk membuat pembayaran bil menggunakan perkhidmatan atas talian atau menghubungi JBALB Call Centre bagi sebarang pertanyaan penting dan segera.

Namun katanya, pengoperasian di semua loji rawatan air dan stesen pam penggalak JBALB Bahagian di seluruh Sarawak beroperasi seperti biasa. — DayakDaily