Kaum Kedayan dipinta kekalkan identiti etnik

Pemenang pertandingan Kapala Kapoo bersama Awang Tengah (baris belakang, tiga kanan). Turut kelihatan (dari dua kiri) Lukanisman, Rosey dan Ripin.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

MIRI, April 22: Kaum Kedayan di negeri ini harus terus mengekalkan identiti etnik dan tidak membiarkan kemajuan menghakis adat tradisi turun temurun nenek moyang mereka.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, generasi baru terdedah kepada asimilasi budaya dan menyebabkan dialek tempatan semakin kurang digunakan.


“Ini tidak bererti kita menentang arus kemajuan. Tetapi, kemajuan negeri haruslah seiring dengan perkembangan budaya yang harus terus diturunkan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Malam Kebudayaan bersempena program ‘Makan Perdana 2019’ yang diadakan di Kampung Pintasan Tiris, di sini baru-baru ini.

Bercakap tentang kemajuan, Awang Tengah berkata polisi kerajaan negeri adalah memastikan setiap suku kaum memiliki suara di dalam kerajaan negeri.

“Bukti nya kita dapat lihat dengan perlantikan Adun Bekenu Rosey Yunus dan Adun Lambir Ripin Lamat, yang hadir malam ini (masing-masing) sebagai salah seorang Menteri Muda di dalam kabinet negeri dan wakil rakyat.

“Ini sudah tentu akan membawa suara suku kaum Kedayan kepada pimpinan tertinggi negeri,” tambah beliau.

Malam kebudayaan tersebut menyaksikan persembahan kebudayaan kaum Kedayan dan juga pertandingan Kapala Kapoo 2019.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni. — DayakDaily