Wanita berusia 72 tahun rugi RM1,560 akibat ditipu kes bantuan kebajikan

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

BETONG, April 22: Seorang wanita warga emas menjadi mangsa kes penipuan bantuan kebajikan dalam satu kejadian di Pekan Debak di sini semalam.

Kejadian berkenaan telah mengakibatkan mangsa yang berusia 72 tahun telah mengalami kerugian sebanyak RM1,560.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan secara tiba-tiba didatangi oleh seorang wanita yang tidak dikenalinya.

Katanya, suspek kemudian memberitahu mangsa kononnya mengatakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atas nama mangsa telah masuk akaun banknya.

“Bagaimanapun, mangsa mengatakan dirinya bukannya penerima bantuan berkenaan sebelum dia ditarik oleh suspek untuk masuk ke dalam sebuah kereta Kancil.

“Turut berada dalam kereta itu ialah seorang lelaki dan kanak-kanak lelaki yang tidak dikenali,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, selepas itu suspek wanita kemudian menanggalkan barangan kemas dan beg duit mangsa.

Katanya, mangsa kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah rumah panjang sebelum suspek melarikan diri.

“Anggaran kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM1,560 dan kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily