Kaum Bumiputera digalak menceburi perniagaan runcit

Pasaraya MARQ8T yang baru dirasmikan di Medan Hamidah.

KUCHING, Jan 27: Kerajaan negeri mahu lebih ramai kaum Bumiputera di negeri ini menceburi perniagaan runcit secara besaran dengan membuka pasaraya runcit di kawasan bandar dan memberikan persaingan kepada pasaraya besar seperti Mydin dan Giant.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian kerana ketika ini sudah ramai kaum Bumiputera menceburi bidang perniagaan runcit tetapi sejak sekian lama hanya dengan membuka kedai runcit kecil di kampung masing-masing.

“Sekiranya mereka dapat membuka pasaraya runcit, ini akan menjadi satu peningkatan dan menunjukkan yang masyarakat kita mampu bersaing, walaupun persaingan itu begitu hebat dengan adanya pasaraya yang besar di bandaraya Kuching seperti Mydin dan Giant,” katanya selepas merasmikan pembukaan pasaraya MARQ8T di Medan Hamidah, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Awang Tengah berkata sekiranya ramai masyarakat Bumiputera membuka pasaraya runcit di kawasan bandar, ini akan seterusnya membantu membuka peluang kepada masyarakat Bumiputera lain yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana (SME) dan industri pertanian memasarkan produk keluaran mereka di pasaraya tersebut.

“Malahan saya dapat melihat di pasaraya MARQ8T ini juga ada produk dari pengusaha kita yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana dan begitu juga produk pertanian yang dikeluarkan kalangan masyarakat petani kita, dan ini memberikan satu peluang dari segi pemasaran bagi masyarakat kita,” katanya.

Awang Tengah (dua dari kanan) bersama kakitangan pasaraya MARQ8T selepas merasmikan pembukaan pasaraya itu.

Disamping itu, beliau berharap pembukaan pasaraya runcit MARQ8T terbabit yang dimiliki Bumiputera akan mendedahkan kepada masyarakat Bumiputera lain yang mereka mampu bersaing dalam perniagaan runcit sekiranya memanfaatkan sepenuhnya kaedah pemasaran baru.

Sementara itu, pengarah Pasaraya MARQ8T, Nor Hasmah Naroden berkata pasaraya terbabit beroperasi selama 24 jam bagi memenuhi keperluan pelanggan bagi kawasan sekitar Petra Jaya dan tidak bersaing secara terus dengan pasaraya besar seperti Mydin atau Giant.

“Kami juga ada juga memasarkan barangan dari industri kecil dan sederhana tempatan dan akan selepas ini melancarkan dua lagi cawangan pasaraya ini di Satok dan Lundu sekitar bulan depan,” katanya. — DayakDaily