Kastam Sarawak rampas rokok tanpa duti dan cukai sebanyak RM8,675,510

Anggota Kastam melakukan pemeriksaan ke atas rokok tanpa duti dan cukai.

Oleh Dean Adam

MIRI, Feb 25: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah berjaya mengagalkan cubaan menyeludup masuk pelbagai jenama rokok putih melibatkan duti dan cukai sebanyak RM8,675,510 di Miri pada Febuari 22 lepas.

Pengarah Kastam Sarawak Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, hasil daripada maklumat yang diperolehi, sepasukan anggota penguatkuasaan JDKM Bintulu dan Miri telah menahan dua buah kontena di Pelabuhan Baram, Miri untuk pemeriksaan rapi.


Jelasnya, kontena-kontena tersebut yang diimport dari Vietnam diikrar melalui manifest import sebagai ‘rice noodle’ telah dibawa masuk melalui Pelabuhan Bintulu dan di pindah kapal untuk dibawa ke Miri.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kontena tersebut telah menjumpai sejumlah 71,750 ‘carton’ rokok putih pelbagai jenama iaitu bersamaan dengan 13,036,000 batang rokok yang melibatkan duti dan cukai sebanyak RM8,675,510 dan 2,036 kilogram ‘dried rice noodle’.

“Modus operandi sindiket itu adalah bagi mengelirukan pihak berkuasa dengan dagangan telah diikrar sebagai ‘rice noodle’ melalui manifest import,” katanya di sini hari ini.

Sharifah Halimah menambah, pengimport di atas nama syarikat yang diragui kewujudannya telah membawa masuk dagangan import melalui Pelabuhan Bintulu dan dipindah kapal untuk dibawa ke Miri.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. — DayakDaily