Kastam Sarawak rampas rokok dan minuman keras haram, nilai cukai cecah RM350,453.14

Kelihatan minuman keras yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Jun 18: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas rokok serta minuman pelbagai jenama dan jenis menerusi dua serbuan berasingan yang dilakukan.

Pengarah JKDM Sarawak, Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam kes pertama, Bahagian Penguatkuasaan Kastam Miri telah berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sedang dalam perjalanan ke Marudi selepas disyaki membawa muatan rokok pelbagai jenama.


Katanya, seorang lelaki iaitu pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggaran nilai rampasan kes termasuk kenderaan yang digunakan oleh suspek tersebut adalah sebanyak RM87,072 manakala jumlah cukai adalah RM55,485.44 yang merangkumi sejumlah 75,600 batang rokok pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sharifah memberitahu, dalam kes yang berasingan, pasukan serbuan Kastam Miri telah menyerbu sebuah rumah yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan rokok dan minuman keras pelbagai jenama.

Jelasnya, menerusi serbuan itu, seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan rokok dan minuman keras.

“Anggaran nilai rampasan kes tersebut adalah sebanyak RM32,579.78 dan jumlah cukai adalah RM175,315.92 yang merangkumi sejumlah 197,120 batang rokok dan 1,834.56 liter minuman keras pelbagai jenama.

“Nilai keseluruhan barangan yang dirampas bagi kedua-dua kes berkenaan adalah sebanyak RM 119,651.78 dan jumlah cukai yang terlibat adalah RM230,801.36 yang merangkumi sejumlah 272,720 batang rokok dan 1,834.56 liter minuman keras disembunyikan bersama muatan barangan runcit yang dibawa bersama suspek.

“Manakala jumlah keseluruhan nilai termasuk cukai adalah sebanyak RM350,453.14,” katanya. — DayakDaily