KM: Sarawak berusaha mewujudkan sumber pendapatan tambahan baharu

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 18: Kerajaan berusaha mewujudkan sumber baharu yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau sudah ada perancangan untuk merealisasikan usaha tersebut.


“Di dalam perlembagaan, kita ada hak untuk mengenakan cukai jualan seperti yang kita lakukan kepada produk minyak dan gas.

“Kita juga boleh mengenakan cukai yang sama terhadap komoditi lain dan ianya akan menjana pendapatan tambahan untuk negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bejarah Gawai Raya anjuran Sacofa Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Mengambil contoh pengeluaran gas hidrogen, Abang Johari menegaskan produk tersebut juga boleh dikenakan cukai jualan jika dikeluarkan secara besar-besaran.

“Begitu juga dengan komoditi lain, bergantung kepada ‘volume’ tetapi saya yakin kita akan memperolehinya.

“Ada-lah perkara yang di dalam pemikiran saya sekarang, tetapi terlalu awal bagi saya untuk mendedahkan komoditi tersebut buat masa ini,” katanya.

Kerajaan Sarawak mengenakan cukai jualan bagi produk petroleum sebanyak lima peratus berkuatkuasa pada Januari 1, 2019.

Produk petroleum yang terlibat adalah minyak mentah, gas asli, cecair gas asli, baja berasaskan kimia dan gas kepada produk cecair.

Cukai diperkenalkan untuk mempelbagaikan hasil pendapatan seterusnya menyokong kerajaan negeri melaksanakan projek dan program pembangunan. — DayakDaily