Kastam Sarawak rampas dadah bernilai RM210,600 di premis cuci kereta

Dadah yang dianggarkan bernilai RM210,600 menerusi satu serbuan di sebuah premis mencuci kereta semalam.

Oleh Dean Adam

MIRI, 6 Dis: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas sejumlah dadah yang dianggarkan bernilai RM210,600 menerusi satu serbuan di sebuah premis mencuci kereta di Jalan Acacia, Miri semalam.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Saharifah Halimah Tuanku Taha dalam satu kenyataan media hari ini berkata, menerusi serbuan kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pihak kastam berjaya merampas sejumlah 9,915 biji pil Eramin 5 dan serbuk kristal yang disyaki dadah jenis ketamine lebih kurang 1,015 gram.


Katanya, penggeledahan lanjut di dalam pejabat premis mencuci kereta itu pula telah menjumpai 65 biji pil Eramin 5 dan lebih kurang 10 gram serbuk yang disyaki dadah jenis ketamine.

Sebelum itu katanya, berdasarkan maklumat perisikan, satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah dihantar kepada penerima di satu lokasi di Miri oleh pekerja syarikat perkhidmatan kurier.

Tambah Sharifah Halimah, modus operandi sindiket dadah itu ialah dengan membuat pembelian dadah secara dalam talian dan menggunakan syarikat kurier untuk penghantaran.

Jelasnya, premis tempat mencuci kenderaan itu telah dijadikan tempat penyimpanan dan pengedaran kepada pengedar-pengedar di kawasan Miri dan seluruh Sarawak.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. —DayakDaily