By Juetila Ozzy
Kastam rampas ‘Limpa Ikan’ bernilai RM360,000 di Sibu
SIBU,25 Feb: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya membongkarkan kegiatan mengeksport limpa ikan yang bernilai mencecah RM360,000 dalam satu operasi di Pusat Pemeriksaan MAS Kargo di Lapangan Terbang Sibu pada 23 Februari lepas.
Pengarahnya Herman Shah Abdullah berkata anggotanya dari Unit Kargo Udara serta Cawangan Penguatkuasaan merampas satu kotak yang mencurigakan selepas diperiksa iaitu sekitar jam 11.40 pagi.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan menemui enam kilogram (Kg) Limpa Ikan.
“Barang kes (limpa ikan) adalah dipercayai untuk dieksport ke sebuah negara di Asia Timur menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran memandangkan barang kes adalah bernilai tinggi dan mempunyai permintaan yang sangat tinggi di pasaran luar negara untuk tujuan perubatan alternatif dan menu hidangan istimewa.
“Barang kes adalah diikrar sebagai keropok di dalam dokumen penghantaran dengan tujuan untuk mengelak daripada dikesan oleh agensi penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kegiatan tersebut adalah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengeksport barangan tak berkastam atau larangan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar.
“Pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua- duanya sekali,” katanya.
Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88- 8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – DayakDaily