Kastam rampas ganja lebih 3kg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Dadah jenis ganja yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

KUCHING,29 Dis: Cubaan menyeludup masuk lebih tiga kilogram (kg) dadah jenis ganja menggunakan kurier berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.
Pengarah Kastam Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata dadah tersebut dihantar dari Semenanjung Malaysia menggunakan dua bungkusan yang diikrarkan sebagai komponen alat ganti.
Bagaimanapun, modus operandi (MO) suspek gagal apabila berjaya dikesan alat pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 14 Disember lalu.
“Pemeriksaan rapi ke atas bungkusan tersebut telah menjumpai lapan paket kedap udara yang mengandungi ketulan mampat daun tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja di dalam bungkusan pertama.
“Seterusnya, pasukan telah menjumpai empat lagi paket kedap udara yang berisi ketulan mampat daun tumbuhan kering yang dipercayai dadah jenis ganja di dalam bungkusan kedua,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Jelasnya juga berat kasar kesemua lapan paket ketulan mampat tumbuhan kering di dalam bungkusan pertama adalah seberat 2,096 gram dengan nilai anggaran sebanyak RM 9,800.
“Manakala berat kasar bagi empat paket ketulan mampat tumbuhan kering di dalam bungkusan kedua adalah seberat 1,041 gram dengan nilai anggaran sebanyak RM 4,550,” katanya.
Semakan awal yang dijalankan oleh pihak JKDM mendapati bungkusan dihantar daripada sebuah negeri di Semenanjung Malaysia dan ditujukan kepada sebuah syarikat perniagaan alat ganti yang beralamat di Kuching.
Walau bagaimanapun, tiada nama individu yang dipaparkan sebagai penerima.
“Pada masa ini, JKDM Sarawak melalui Cawangan Narkotik telah menggerakkan usaha untuk menjejaki sindiket dan individu yang dipercayai bersangkutan dengan kes ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“JKDM Sarawak optimis dengan maklumat yang dimiliki dalang kes dapat dikesan dan dikenalpasti sedikit masa lagi,” ujarnya.
JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan.— DayakDaily