Kastam rampas 9,184 batang rokok dan 158.86 liter minuman keras di Miri

Minuman keras dan rokok pelbagai jenama yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 23: Jabatan Kastam negeri telah merampas 9,184 batang rokok dan 158.86 liter minuman keras pelbagai jenama menerusi dua serbuan berasingan di sini.

Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata serbuan pertama yang dilakukan di Bandar Baru Permyjaya, Tudan, di Lutong kira-kira pukul 10.15 pagi, berjaya merampas sebanyak 6,304 batang rokok dan 158.86 liter minuman keras.

Katanya, kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM2,236.31 dan jumlah cukai sebanyak RM12,783.70.

Rokok pelbagai jenama yang dirampas.

“Manakala, dalam serbuan kedua pada pukul 6.45 petang di Desa Indah Senadin, kita telah merampas sebanyak 2,880 batang rokok yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM230.40 dan jumlah cukai sebanyak RM2,101.25,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, dalam kes pertama, siasatan mendapati individu terlibat disyaki menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus Kastam di premis berkenaan untuk dijual kepada pelanggan mereka.

Katanya, rokok dan minuman keras berkenaan disembunyikan di dalam stor, peti sejuk dan bahagian bawah kaunter pembayaran premis berkenaan.

“Manakala bagi kes tangkapan kedua, individu terbabit didapati menjual rokok-rokok seludup ditempat awam di kaki lima premis perniagaan.

“Kedua-dua kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya. —DayakDaily