KUCHING 22 Nov: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan mengeksport sisa logam bernilai RM2.168 juta ke luar negara.
Pengarah JKDM Sarawak Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata percubaan untuk eksport sisa logam tersebut menggunakan enam buah kontena dengan muatan yang diikrar sebagai ‘copper flakes’ dan ‘aluminium flakes’.
Katanya, modus operandi (MO) tersebut terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching membuat pemeriksaan di Pelabuhan Senari, di sini pada 12 Oktober lalu.
“Pemeriksaan awal mendapati barang yang diikrar tidak sama seperti dalam dokumen kastam yang diikrar oleh syarikat.
“Semua kontena tersebut kemudian ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan, Jalan Gedung, Kuching, Sarawak.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sisa logam seberat 158,284 kilogram bernilai kira-kira RM2,168,200 di dalam kontena tersebut,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Tambahnya, dua suspek iaitu agen penghantaran dan pemilik syarikat tempatan pengeksport barangan berumur lingkungan 40 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
“Kesemua muatan sisa logam adalah barangan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017 dan pengeksportan hendaklah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a), Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan bersalah akan didenda tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily