Kastam berjaya sita barangan seludup bernilai RM27 juta di Sibu

Subromaniam (tiga dari kanan) menunjukkan pelbagai barangan seludup yang dirampas pihak Kastam.

SIBU, Dis 27: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menyita 12 unit kontena yang disyaki membawa barangan seludup dengan nilai dan cukai dianggarkan berjumlah RM27 juta di Pelabuhan Rajang di sini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, 12 kontena yang berisi rokok, arak dan mercun itu dirampas menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan sejak Oktober lalu hingga awal bulan ini.

Menurut beliau, hasil operasi di Sibu, JKDM telah berjaya merampas barangan seludup tersebut yang dianggarkan mencecah RM21 juta.


“Jumlah cukai dan nilai barangan kes yang berjaya diselamatkan ialah sebanyak RM6.7 juta.

“Kesemua barangan tersebut telah disita di bawah peruntukan Seksyen 114, Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa permit import yang sah dan merupakan barangan yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya ketika sidang akhbar di Sibu hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas kontena-kontena tersebut mendapati lima unit kontena mengandungi minuman keras pelbagai jenama sebanyak 51,192 liter dengan anggaran nilai dan jumlah cukai sebanyak RM6.52 juta.

Katanya, dua kontena lain pula mengandungi 103,650 kartun rokok putih pelbagai jenama dengan anggaran nilai dan cukai sebanyak RM14.28 juta.

“Satu kontena yang mengandungi mercun turut disita dengan anggaran nilai dan jumlah cukai sebanyak RM265,000.

“Siasatan mendapati dagangan itu telah diikrar sebagai dagangan lain serta ada yang disusun bersama-sama dengan barangan import yang lain di dalam kontena bagi mengaburi pihak Kastam,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata, siasatan sedang dijalankan ke atas ejen perkapalan serta ejen penghantaran di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import yang sah.

Jika disabitkan kesalahan, ujar beliau, bagi kesalahan pertama, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak melebihi 40 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, JKDM telah melaksanakan sistem dimerit sejak bulan April lalu kepada ejen-ejen penghantaran.

Tegasnya, ejen-ejen yang didakwa terbabit di dalam kegiatan penyeludupan atau sering melakukan kesalahan dan mengutip melebihi 40 mata kesalahan boleh digantung lesen perkhidmatan mereka.

“Justeru, kerjasama orang ramai amat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi pejabat kastam terdekat atau menghubungi talian bebas tol 1-300-888-500.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya lagi. — DayakDaily