Karim tidak senang SPR lewat adakan mesyuarat

Karim (tengah) pada sidang media di Asajaya.
Advertisement

ASAJAYA, 13 Nov: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak senang dengan tindakan Suruhanjaya Piliharaya (SPR) yang lewat mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh Piliharaya Negeri Ke12 (PRN12).

Katanya, SPR telah dimaklumkan bahawa Proklamasi Darurat Sarawak ditarik balik yang sekaligus menyebabkan terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 November lepas.

“Mesyuarat(SPR) hanya akan diadakan pada 24 Nov ini. Tiga minggu untuk mengadakan mesyuarat.

Advertisement

“Bagi saya, pada masa SPR diberitahu seperti kebiasaan pada pembubaran DUN yang lepas, dalam tempoh seminggu mereka sudah mengadakan mesyuarat dan mengumumkan tarikh pilihanraya.

“Sekurang-kurangnya seperti itu, tetapi kali ini saya tidak pasti kenapa ia memakan masa 3 minggu untuk mengadakan mesyuarat,” katanya pada sidang media selesai Program Belia Kasih Komuniti di Dewan Kampung Tambirat hari ini.

Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berpendapat bahawa SPR mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan mesyuarat lewat diadakan.

Namun katanya, jika pilihanraya Melaka digunakan sebagai alasan ia bukanlah alasan yang baik.

“Jika 3 atau 4 negeri turut mengadakan pilihanraya, bagaimana pula SPR hendak menguruskannya?

“Namun tarikh sudah diberi dan tiada apa yang kita boleh buat, kita akur sahaja,” ujar Karim yang juga penyandang DUN Asajaya.

Semalam, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengadakan satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan PRN12 pada 24 November ini.

Katanya, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Ia bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Sarawak seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain persiapan-persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Sejurus selepas selesai mesyuarat khas itu, satu sidang media akan diadakan untuk mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak,” katanya. — DayakDaily

Advertisement