306 ditangkap kerana dadah di Kuching

Anggota operasi menjalankan serbuan di beberapa buah kampung.

KUCHING, 13 Nov: Seramai 306 individu ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah untuk tempoh Januari sehingga 11 Nov lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, seramai 293 daripada jumlah tersebut ialah lelaki dan 13 perempuan.

Katanya, mereka ditangkap menerusi operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.


“Tangkapan dibuat di 13 lokasi iaitu di Kampung Semariang Batu, Kampung Geobilt, Kampung Demak, Kampung Muara Tebas, Kampung Rampangi, Kampung Bako, Kampung Semariang Baru, Kampung Demak Baru, Kampung Surabaya, Kampung Siol Kandis, Kampung Astana Lot, Kampung Sungai Bedil Besar dan Kampung Gita.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 77 orang yang terdiri daripada 51 lelaki dan 26 perempuan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau dadah.

“Manakala, jumlah jatuh hukum seramai 28 suspek terdiri daripada 25 lelaki dan tiga perempuan bagi pelbagai kesalahan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, daripada jumlah tangkapan tersebut, sebanyak 286 kes telah disiasat.

Dedah beliau, Siasatan dijalankan di bawah Seksysen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (3 kes), Seksyen 39A(2) ADB 1952 (1 kes), Seksyen 39A(1) ADB 1952 (2 kes), Seksyen 12(2) ADB 1952 (19 kes), Seksyen 6 ADB 1952 (2 kes), Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 (256 kes), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (1 kes) dan Seksyen 39C ADB 1952 (2 kes).

“Ekoran daripada kejayaan operasi tersebut, beberapa jenis dadah juga telah dirampas terdiri daripada dadah jenis syabu seberat 183.61 gram, ganja (1,072.8 gram), eramin 5 (1 biji) dan pil nospan (16 biji).

“Polis Daerah Kuching mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya. — DayakDaily