KUCHING, 17 Okt: Sebuah kapal kargo muatan pasir ditahan di kira-kira 0.56 batu nautika tenggara Gunung Ayer semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata kapal tersebut ditahan oleh anggotanya yang melakukan rondaan Op Permai dan Op Tiris sekitar jam 12.20 tengah hari.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, didapati nahkodanya gagal mengemukakan bukti pertukaran nakhoda secara bertulis dalam ‘Certificate of Malaysia Registry’.
“Seramai enam warga asing dan dua warga tempatan iaitu kru kapal berada di atas kapal semasa diperiksa dan kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kapal tersebut diiring ke kawasan bersauh berhampiran Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakan selanjutnya olrh pegawai penyiasat.
Maritim Negeri Sarawak ingin memohon kepada masyarakat khususnya komuniti perkapalan agar sentiasa peka terhadap undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan.
Sebarang salah laku atau kegiatan jenayah di laut, orang awam boleh menyalurkan aduan ke talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak (082-432544) atau MERS 999 untuk maklum balas segera. — DayakDaily