Kanun Tanah Nasional harus dipinda untuk mengiktiraf hak-hak adat — Baru Bian

Baru Bian

KUCHING, 28 Julai: Ahli Parlimen Selangau Baru Bian mencadangkan Kanun Tanah Nasional dipinda di Parlimen untuk mengiktiraf hak-hak adat (NCR) orang asal di seluruh Malaysia.

“Dalam usaha untuk melindungi hak semua orang asal di Malaysia, saya mencadangkan agar Kanun Tanah Nasional (The National Land Code) dengan izin, dipinda untuk mengiktiraf hak NCR di seluruh Malaysia supaya semua negeri sedar akan hak rakyat khususnya dari golongan orang asal terhadap sesebuah tanah tersebut,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Menjujung kasih atas Titah DiRaja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Parlimen.

Ucapan beliau disiarkan di laman Facebooknya, hari ini.


Baru berkata kesedaran yang amat besar di Sarawak ialah pemeliharaan hak tanah NCR orang asal atau kaum Dayak adalah begitu berharga dan tidak ternilai sehingga mereka mengatakan bahawa tanah adalah kehidupan mereka dan ini terbukti menjadi kenyataan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada masa lalu, nenek moyang kita hidup daripada bercucuk tanam di tanah mereka, memungut hasil dari hutan dan menangkap hasil dari sungai. Saya boleh mengatakan bahawa mereka boleh bertahan selama tiga bulan tanpa datang ke bandar untuk mendapatkan makanan,” katanya.

Tetapi, beliau mendedahkan semasa PKP tahun ini, pusat perkhidmatannya telah menyaksikan ribuan keluarga dari pelbagai rumah panjang yang datang untuk memohon bantuan bekalan makanan.

“Bolehkah kita mengatakan bahawa keadaan mereka kini lebih buruk daripada bapa dan datuk nenek mereka? Keadaan ini memberi isyarat kepada kita agar mengambil tindakan yang lebih padu dan menggesa pihak berkuasa untuk memberi pengiktirafan hak tanah adat kepada orang asal negara ini,” tambahnya.

Beliau sehubungan itu mengegaskan kerajaan negeri di seluruh negara perlu berusaha dengan lebih serius dalam mengiktiraf hak tanah NCR mereka ini kerana hak atas tanah adalah dibawah kuasa kerajaan negeri.

Tambahnya, walaupun hak NCR ini tidak termaktub dalam undang statut negara tetapi sekiranya satu adat orang asal itu masih wujud dan diamalkan sejak nenek moyang mereka sampai ke hari ini, adat itu pasti diiktiraf.

Baru mendedahkan prinsip ini telah dinyatakan pertama kalinya di dalam kes Adong Kuwau dan Sagong Tasi di Semenanjung Malaysia, dan kes Nor Nyawai, dan Madeli Salleh di Sarawak. — DayakDaily