Kantoi buat laporan palsu selepas belanjakan hasil jualan untuk ubahsuai kereta

PDRM logo

KOTA PADAWAN, 16 Sept: Seorang lelaki ditangkap selepas kantoi membuat laporan polis palsu kerana membelanjakan wang hasil jualan buah-buahan bersama kawannya semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata suspek, 29 tahun itu membuat laporan palsu pada 7 September dengan mendakwa telah disamun dua lelaki di Jalan Matang, sekitar jam 8 malam.

Katanya, siasatan polis membawa kepada pengakuan suspek yang memberitahu dia mereka-reka situasi dirinya disamun selepas menggunakan wang RM5,100 hasil jualan tersebut.


“Suspek mengaku membuat laporan palsu dan kejadian dilaporkan adalah rekaan semata-mata selepas disiasat detektif Cawangan Jenayah, IPD Padawan.

“Suspek sebenarkannya telah membelanjakan wang hasil jualan buah-buahan iaitu perniagaan bersama rakannya untuk mengubahsuai kereta miliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang berbuat sedemikian,” tegas Lim.

Suspek dari Petra Jaya tersebut dalam laporan palsunya mendakwa dua suspek yang menunggang sebuah motosikal telah menyerangnya dan mengacukan pisau ke arahnya.

Kedua-dua lelaki tersebut kemudian dikatakan melarikan diri bersama beg tangan milik suspek yang mengandungi wang tunai RM5,100 hasil jualan tersebut, telefon bimbit, cincin dan dompetnya. — DayakDaily