Kanak-kanak tahan sakit lebih 30 minit, kaki tersepit bila van rempuh pagar konkrit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

KUCHING, Jan 28: Seorang kanak-kanak terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit apabila kakinya tersepit selepas van yang dinaiki bersama ayahnya merempuh pagar konkrit di Jalan Chawan Lorong 2 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan tujuh tahun tersepit kedua-dua belah kakinya.

Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit sebelum membawanya ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.


Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.49 petang.

Katanya, sejurus menerima maklumat insiden itu, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebuah kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari BBP Batu Lintang bersama empat anggota turut bergegas ke tempat kemalangan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa masih dalam keadaan tersepit, manakala bapanya sudah keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas tersebut.

“Operasi tamat sejurus mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – DayakDaily