Pekerja kilang kayu maut dihimpit forklift

Forklift yang menghimpit mangsa hingga menyebabkan kematian.

SIBU, Jan 28: Seorang pekerja kilang kayu maut akibat dihimpit sebuah jentera pengangkat barang atau forklift dalam satu kejadian di Kilang Kayu Jaling Jaya Sdn Bhd, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Hamzi Bani, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum insiden itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu forklift dikatakan telah memberhentikan jentera tersebut.


Bagaimanapun katanya, kenderaan tersebut dikatakan dalam keadaan gearnya masih dalam keadaan ‘reverse’ iaitu semasa mangsa hendak memeriksa bahagian belakang forklift itu.

“Forklift itu kemudian tiba-tiba mengundur ke belakang lalu menghimpit mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan yang berada di lokasi sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. – DayakDaily