Sarawak akan bekerjasama dengan saintis Finland untuk mencipta baka pokok baru

Birch forest in Finland. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Jan 28: Sarawak akan menjalankan penyelidikan saintifik bagi mendapatkan baka pokok baru yang dapat tumbuh dan membesar dengan lebih cepat di kawasan beriklim tropika.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata penyelidikan terbabit akan dilakukan para saintis tempatan dengan kerjasama saintis dari negara Finland berikutan negeri ini ada banyak spesis pokok iklim tropika yang cepat membesar.

“Kita akan menjalankan kerjasama bidang perhutanan dengan negara Finland dimana saintis mereka bekerjasama dengan saintis kita bagi (menjalankan penyelidikan saintifik bagi) kita menanam pokok yang boleh tumbuh dengan cepat di kawasan beriklim tropika,” katanya ketika merasmikan Majlis Menanam Pokok #MA18 Tree Planting@ Muara Tebas di Sungai Buda Kecil, Muara Tebas, di sini, hari ini.


Abang Johari berkata dengan penyelidikan itu diharapkan akan menghasilkan baka pokok baru yang dapat membesar lima hingga tujuh tahun lebih cepat dari biasa sekiranya didedahkan kepada iklim tropika negeri ini yang cukup banyak cahaya matahari dan menerima banyak air hujan sepanjang tahun.

Katanya Finland berminat menjalankan kerjasama penyelidikan itu kerana ketika melawat negara terbabit dimaklumkan ada spesis pokok di sana sehingga mengambil masa sehingga 70 tahun bagi cukup besar kerana negara tersebut mengalami musim sejuk yang panjang dan kurang mendapat cahaya dalam setahun.

Beliau mendedahkan antara spesis pokok yang dapat tumbuh dengan cepat di negeri ini ialah pokok kelampayan yang hanya memerlukan masa enam tahun untuk sesuai menjadi bekalan stok kayu kepada industri pembalakan tempatan.

Kelampaian @ Kelampayan dan nama saintifiknya Neolamarckia cadamba dari keluarga Rubiaceae bukan sahaja sebagai bahan mentah industri papan lapis, tetapi setiap bahagian pokoknya boleh digunakan bagi tujuan perubatan, industri perabot dan kertas.

Ia sejenis spesis pokok kayu yang cepat matang iaitu antara 5 hingga 10 tahun dan dalam pesekitaran biasa, ketinggian pokok ini boleh mencecah 17 meter serta diameter batangnya boleh mencecah 25 cm. — DayakDaily