Kanak-kanak perempuan 3 tahun tahan sakit akibat cincin tersekat pada jari

Pasukan bomba melakukan operasi khas memotong cincin yang tersekat pada jari seorang kanak-kanak perempuan.

Oleh Dean Adam

SIMUNJAN, Jun 12: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun terpaksa menahan kesakitan sebelum cincin yang tersekat pada jarinya dipotong oleh pasukan bomba di Hospital Simunjan di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sebelum itu pihak bomba menerima panggilan dari pihak hospital untuk membantu operasi memotong cincin yang tersekat berkenaan pada pukul 12.04 tengah hari.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan kemudian bergegas ke hospital untuk melakukan operasi khas.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan menahan kesakitan akibat cincin tersekat pada jari telunjuk kanannya.

“Anggota bomba kemudian melakukan operasi pemotongan cincin tersebut menggunakan alat pemotong khas,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba mengambil masa lebih 30 minit untuk memotong cincin yang tersekat pada jari kanak-kanak tersebut.

Katanya, anggota bomba melakukan operasi itu dengan penuh berhati-hati.

“Operasi itu tamat kira-kira pukul 12.58 tengah hari,” katanya. — DayakDaily