Lima individu nyaris maut, kereta dinaiki terbabas lalu terbalik

Pasukan bomba berusaha membantu mangsa.

Oleh Dean Adam

MIRI, Jun 12: Lima individu nyaris maut selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di JPJ Jalan Airport di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu, kesemua mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung dengan kemalangan itu pada pukul 3.29 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral kemudian bergegas ke tempat lokasi kemalangan tersebut.

Keadaan di tempat kemalangan.

“Sebaik tiba, komander operasi melaporkan sebuah Proton Persona dalam keadaan terbalik di tepi jalan.

“Anggota bomba segera bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dari dalam kenderaan tersebut. Seorang wanita berada dalam keadaan separuh sedar dan diberi rawatan awal oleh anggota EMRS, manakala mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 4 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily