Jurutera disyaki edar syabu dicekup polis

Gambar rampasan dadah.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Julai 4: Seorang jurutera antara dua lelaki yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di rumah di Kampung Pueh, Sematan, hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 28 dan 31 tahun dicekup sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak pada pukul 11.45 pagi.


Ketua JSJN Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan anggota polis telah membuat satu serbuan dan menahan seorang suspek yang juga seorang jurutera di sebuah rumah di kampung berkenaan.

Katanya, polis kemudian menahan seorang lelaki iaitu pekerja buruh kasar yang datang ke rumah tersebut untuk membeli bekalan dadah daripada suspek pertama.

“Hasil serbuan itu, polis telah merampas dadah jenis syabu seberat 31.15 gram dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM4,500,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, siasatan awal mendapati suspek pertama (seorang jurutera) terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan Sematan dan Lundu sejak 2018.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek pertama ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek kedua dan juga suspek pertama turut disiasat mengikut Seksyen15(1)(a) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily