Jurujual rugi RM2,000 ditipu sindiket pinjaman peribadi tidak wujud

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

MIRI, April 19: Seorang jurujual kerugian RM2,000 selepas tertipu dengan pinjaman peribadi tidak wujud yang ditawarkan sebuah syarikat di laman Facebook (FB).

Lelaki berusia 37 tahun itu pada mulanya telah ternampak satu iklan tawaran pinjaman peribadi di FB pada 12 April lepas.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, mangsa yang berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM25,000, kemudian meninggalkan nama, nombor telefon bimbit dan alamat tempat tinggal di dalam ruangan komen FB itu.

“Pada 15 April lalu, mangsa kemudian telah dihubungi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Alex melalui aplikasi WhatsApp. Suspek kemudian meminta maklumat peribadi serta dokumen seperti kad pengenalan, salinan penyata akaun, penyata cukai pendapatan dan KWSP daripada mangsa.

“Mangsa juga dikehendaki oleh suspek untuk membuat suatu bayaran untuk mendapatkan pinjaman wang tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal menambah, terperdaya dengan arahan suspek, mangsa kemudian melakukan transaksi pembayaran sebanyak RM2,000 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.

Mangsa akhirnya menyedari telah ditipu selepas dia membuat semakan dengan pihak Hong Leong Centre yang memaklumkan dia telah ditipu oleh suspek, katanya.

“Malah wang pinjaman yang dibuat oleh mangsa juga tidak diterima meskipun dia telah membuat beberapa bayaran kepada suspek. Mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily