Julaihi lawat Measat Teleport dan Pusat Penyiaran

Julaihi (lima dari kanan) pada lawatan ke Ibu Pejabat Measat Teleport and Pusat Penyiaran.

KUCHING, 16 Ogos: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi mengetuai rombongan kementeriannya mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Measat Teleport dan Pusat Penyiaran di Cyberjaya semalam.

Lawatan kerja dan kunjungan hormat kepada pengurusan tertinggi Measat adalah untuk mewujudkan jalinan komunikasi bagi tujuan urusan rasmi pada masa depan.

Kunjungan itu juga diadakan bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan Measat dan fungsinya secara terperinci dan mengetahui lebih mendalam berkenaan dengan infrastruktur sistem satelit di Malaysia.


Hasil lawatan mendapati penggunaan teknologi Satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) sesuai digunakan untuk kawasan pedalaman terutamanya kawasan terpencil dan sukar diakses.

MEASAT-3d yang baharu dilancarkan pada 22 Jun 2022 dan telah beroperasi sejak Julai 2022 telah meningkatkan kelajuan jalur lebar pada kadar iaitu 30Gbps melalui VSAT.

Pengurusan tertinggi Measat dan kementerian berkongsi serta bertukar pendapat mengenai kemudahan satelit yang boleh digunapakai dan diadaptasi dengan geografi Sarawak dengan mengutamakan keperluan penggunaan internet oleh penduduk di kawasan pedalaman.

Turut mengiringi Julaihi ialah Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Tetap Kementerian Dato Alice Jawan Empaling dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak Adiman Ajem. — DayakDaily