Jualan kraftangan di Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 mampu capai sasaran RM200,000

Nancy pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 27 Feb: Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Dato Sri Nancy Shukri yakin hasil jualan kraftangan pada Festival Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Kuching mampu mencapai sasaran RM200,000.

Menurut beliau, hasil jualan keseluruhan bagi produk kraftangan yang melibatkan 53 usahawan pada semalam telah mencecah RM162,000.

“Pendapatan dari hasil jualan kraf pada hari pertama ialah RM34,000 dan pada semalam 26 Februari, jumlah keseluruhan telah mencecah RM162,000.


“Kita hanya dapat mengumpul 53 orang usahawan kerana pada masa ini, Hari Kraftangan Kebangsaan diadakan di Kuala Lumpur.

“Namun demikian, kita mensasarkan RM200,000 bagi jualan kraf dan saya percaya ini dapat kita capai pada hari ini, iaitu hari terakhir festival,” katanya pada sidang media di Pusat Media Citrawarna hari ini.

Tambah Nancy, penganjuran Citrawarna membantu menambah pendapatan pengusaha-pengusaha kraf dan merupakan penanda aras kepada aktiviti-aktiviti lain di masa hadapan.

Katanya, banyak produk kraf termasuk alatan gitar sape telah mendapat permintaan yang tinggi daripada para pengunjung.

“Ia (sape) adalah produk baru dan begitu laku. Inilah cara kita membantu penduduk luar bandar dan golongan muda,” ujar Nancy.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan Festival Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 ini telah mencapai sasaran 50,000 pengunjung.

Selain penduduk setempat katanya, pengunjung-pengunjung dari luar negeri ini juga turut datang memeriahkan festival. — DayakDaily