JTS: Jangan terpedaya dengan tawaran dan penjualan lot tanah

File photo of a housing project for illustration purposes.

KUCHING, 18 Ogos: Orang ramai khususnya masyarakat di kawasan Santubong dan Kuching diingatkan sentiasa berhati-hati dengan kegiatan segelintir individu atau syarikat yang menawarkan pengagihan atau penjualan tanah untuk lot kediaman di kawasan tertentu.

Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan pemilihan peserta bagi tujuan pengagihan lot-lot kediaman.

“Modus operandi mereka melibatkan penawaran lot kediaman serta kerja pembersihan lot dengan kos yang ditetapkan. Mereka juga menggunakan platform media sosial di dalam modus operandi tersebut.


“Segelintir masyarakat mudah terpengaruh dan bersetuju dengan tawaran berkenaan. Namun apa yang seringkali berlaku melalui modus operandi ini ialah tanah yang ditawarkan merupakan tanah Kerajaan,” katanya.

Tambah JTS, orang ramai diperdaya dengan dakwaan mereka bahawa tanah tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan untuk tujuan kediaman.

Justeru katanya, Kerajaan khususnya melalui JTS tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tuntutan atau kerugian yang dialami oleh mangsa modus operandi ini.

“Oleh yang demikian, orang ramai adalah diingatkan untuk tidak terus terpengaruh atau mempercayai apa-apa tawaran penjualan lot kediaman yang meragukan.

“Malah orang ramai adalah dinasihatkan untuk terus merujuk kepada JTS sekiranya mereka ingin membuat semakan atau pengesahan maklumat berkaitan,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, JTS berkata satu laporan polis telah dibuat untuk menyiasat kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini.

Kerajaan melalui JTS melaksanakan pembangunan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi tujuan penyediaan lot-lot kediaman di seluruh negeri ini secara terancang.

Pengagihan lot-lot kediaman bagi SPS dan SPK ini dibuat oleh jawatankuasa pemilihan yang dilantik. — DayakDaily