JSJN Sarawak cekup 86 individu dalam operasi Ice Breaker

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas oleh polis.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 1: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak menahan 86 orang yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi operasi Ice Breaker yang dijalankan pada Julai 29 lepas.

Ketua JSJN Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 77 orang merupakan lelaki, manakala selebihnya adalah wanita.

Katanya, operasi besar-besaran JSJN itu telah dilancarkan serentak di seluruh Malaysia pada tarikh sama (Julai 29).

“Polis sentiasa mengambil langkah proaktif dalam usaha memantau, mengesan dan mengekang segala aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah.

“Antara tujuan operasi ini ialah menyasarkan kawasan yang telah dikenalpasti sebagai sarang-sarang penagih bagi menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, dalam operasi tersebut polis telah merampas dadah jenis syabu seberat 78.07 gram dan ganja seberat 0.65 gram.

Katanya, ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati 51 orang positif dadah iaitu 42 lelaki dan 9 wanita.

“Kesemua tangkapan ditahan reman untuk siasatan selanjutnya di atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — DayakDaily