Dua rumah terbakar, sembilan penduduk Kampung Piasau Utara tinggal sehelai sepinggang

Kesan kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah.

Oleh Dean Adam

MIRI, Ogos 1: Sembilan orang penduduk di Kampung Piasau Utara di sini tinggal sehelai sepinggang selepas dua buah rumah terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 4.05 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.07 petang.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng kemudian diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah telah musnah terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua terbakar kira-kira 80 peratus.

“Pemeriksaaan lanjut mendapati kesemua penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, kebakaran itu juga telah memusnahkan 3 buah rangka kereta yang terletak berdekatan dengan rumah yang pertama.

Katanya, buat masa ini punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi dalam proses siasatan.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 5.53 petang,” katanya lagi. — DayakDaily