JSJK Sarawak: Elak ditipu sindiket penipuan pinjaman wang tidak wujud

Social media applications on a mobile phone. — DayakDaily.com file pic

KUCHING, Ogos 4: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak menerusi kenyataan media hari ini melaporkan sebanyak 146 kes penipuan pinjaman tidak wujud di negeri ini telah direkodkan bagi tempoh Jan 1 hingga Ogos 3, 2019.

Kes-kes tersebut, menurut Ketua JSJK Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, melibatkan kerugian melebihi RM1.25 juta.

Disamping itu katanya, sebanyak 220 kes yang sama telah direkodkan bagi Januari hingga Disember 2018 yang melibatkan jumlah kerugian melebihi RM1.5 juta.


“Sebanyak 39 tangkapan telah dibuat pada tahun 2018 dan bagi tempoh Jan 1 hingga Ogos 3, 2019 pula sebanyak 17 tangkapan telah dibuat.

“Pihak polis masih giat membanteras dan menggempur sindiket penipuan pinjaman tidak wujud pada tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan media sosial untuk menipu masyarakat yang mengalami kesempitan kewangan dengan mengiklankan pinjaman kewangan yang sebenarnya tidak wujud.

Percubaan ini dilakukan hampir setiap hari dan pihak yang tidak mengambil-tahu tentang kewujudan kegiatan penipuan pinjaman wang yang tidak wujud akan mudah tertipu, katanya.

Mustafa Kamal menasihati masyarakat sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah sindiket yang membuat panggilan, menghantar mesej dan iklan berkenaan tawaran pinjaman wang tanpa lesen yang risikonya akan ditipu.

“Orang ramai yang melayari media sosial terutamanya Facebook, Instagram, WhatsApp, WeChat, Twitter dan lain-lain, dinasihatkan agar sentiasa peka dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman sindiket penipuan pinjaman tak wujud,” katanya.

Beliau juga menasihati masyarakat supaya mendapatkan pinjaman wang daripada syarikat pemberi pinjaman wang berlesen atau institusi kewangan yang sah.

Ujar beliau, syarikat pemberi pinjam wang yang sah hanya boleh menjalankan urusan pinjaman di alamat operasi yang diluluskan sahaja.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak panik dan tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali.

“Maklumkan kepada ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat mengenai panggilan telefon, iklan pinjaman wang yang mencurigakan.

“Jika orang ramai meragui sesuatu panggilan telefon tersebut, sila hadir atau menelefon balai polis berhampiran untuk nasihat,” katanya.

Kalau ada sebarang kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui ‘WhatsApp’ atau ‘SMS’ ke Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline di talian 013-211 1222.

Untuk maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan, orang ramai boleh layari portal rasmi http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/#.

Selain itu, orang ramai juga boleh hubungi pihak Bank Negara Malaysia (BNM) melalui telefon 1-300-88-5465 atau 082-224200 (BNM Kuching) atau emel bnmtelelink@bnm.gov.my. — DayakDaily