JPJ rakam kesalahan, hantar notis temu siasat kepada pemilik kenderaan

Tangkap layar dari video menunjukkan sepanjang operasi yang dikongsi di laman Facebook JPJ Negeri Sarawak. Kelihatan anggota JPJ menunjukkan kamera yang dipasang di topi keledarnya.

KUCHING, 12 Feb: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui Unit Falcon JPJ Kuching mengesan kesalahan pemandu-pemandu di sekitar bandaraya ini hari ini.

Menurut kenyaatan yang dimuat naik di laman Facebook JPJ Negeri Sarawak, kesalahan tersebut dirakam oleh Enforcement Action Camera (EAC).

Katanya, mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan akan dikehendaki tampil untuk siasatan lanjut.

“Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114(1) APJ 1987 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan dan dikehendaki hadir ke Unit Pengurusan Aduan & Siasatan JPJ untuk tujuan siasatan dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan,” katanya.

Video sepanjang operasi boleh ditonton di laman Facebook JPJ Negeri Sarawak.

Justeru pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang jalan raya untuk mengelakkan daripada diambil tindakan.

Aduan trafik boleh disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan. — DayakDaily