41 mangsa terkandas akibat ‘kepala air’ di Kapit

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan pihak Bomba.

KAPIT, 12 Feb: Seramai 41 orang daripada sembilan keluarga dilaporkan terperangkap akibat fenomena ‘kepala air’ ketika berkhemah di tebing sungai berhampiran Rumah Untang, Sungai Yong, Jalan Bukit Goram, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan pada jam 8.32 malam (Ahad).

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Sampai di lokasi kejadian didapati benar terdapat sembilan keluarga berasal dari Bintulu terperangkap di seberang sungai ketika sedang berkhemah dan bermalam di sungai tersebut.

“Pasukan penyelamat memulakan operasi dengan memasang ‘safety line’ menyeberangi sungai kerana air sungai deras dengan kedalaman paras dada (1.5 meter).

“Seterusnya anggota penyelamat menggunakan ‘personal line’ yang dipasang pada ‘safety line’ untuk membantu mangsa menyeberangi sungai, seorang demi seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua mangsa kemudian selamat dipindahkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Setelah keadaan selamat, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai.

Difahamkan kesemua mangsa datang bercuti dari Bintulu dan bermalam di tebing sungai tersebut sejak Sabtu (10 Feb).

Perubahan cuaca pada petang hari telah menyebabkan hari hujan dan air sungai naik secara tiba-tiba, mengakibatkan fenomena ‘kepala air’ yang deras. — DayakDaily