KPDNHEP: Kedai cermin mata dan dobi layan diri dibenar beroperasi

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 16 Jan: Kerajaan telah bersetuju bahawa terdapat keperluan bagi kedai cermin mata dan dobi layan diri untuk beroperasi.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kebenaran beroperasi adalah bagi mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

“Namun, kebenaran tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan dalam prosedur pengoperasian standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Justeru kata Nanta, KPDNHEP mengingatkan kepada pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran supaya memastikan pematuhan SOP dilaksanakan sepenuhnya di premis masing-masing.

Jelas beliau, kegagalan untuk memastikan SOP dipatuhi boleh diambil tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan.

“Sekiranya pematuhan ini masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, Kementerian turut akan mengambil tindakan drastik.

“Ini termasuklah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nanta berharap semua pihak mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah sektor perdagangan dan pengedaran dengan mematuhi kesemua SOP yang sedang berkuatkuasa.

Nanta yakin tindakan serta kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara serta mengawal jangkitan Covid-19. — DayakDaily