JPJ keluar larangan kenderaan berat sempena Tahun Baru Cina

Road Transport Department logo (sourced from www.jpj.gov.my)

KUCHING, Jan 25: Kenderaan berat adalah dilarang menggunakan jalan raya sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina dari tempoh Feb 2-10 akan datang.

Menurut satu kenyataan media Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini, kenderaan-kenderaan berat ini dikategorikan kepada tiga.

Kategori pertama termasuk lori pembawa kenderaan, trak tunda (termasuk ketika tidak menunda kenderaan motor) dan lori jongket (tipper) dengan muatannya (BDM) melebihi 7,500 kg, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda dan tractor.


Kenderaan berat lain yang turut dilarang termasuk lori pengangkut simen, lori yang membawa besi keluli, batu, pasir, tanah dan bahan binaan yang lain, bijih timah, arang batu dan bahan galian yang lain.

“Bagi kategori kedua, kenderaan seperti lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri yang sama dan sebaliknya cuma boleh menggunakan jalan raya dari jam 12 malam hingga 6 pagi.

“Begitu juga dengan lori-lori kargo yang mengangkut barangan elektronik, elektrik atau bahan industri dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri dan sebaliknya,” JPJ berkata.

Kategori ketiga pula membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen yang hanya dibenarkan menggunakaan jalan raya dari jam 6.00 petang sehingga 6.00 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

Sementara itu, JPJ juga akan melancarkan “Operasi Penguatkuasaan Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina” 2019 ketika musim perayaan berikut.

Tempoh operasi adalah selama dua minggu iaitu dari 29 Januari hingga 12 Februari dan tidak termasuk dua hari cuti umum perayaan Tahun Baru Cina pada 5-6 Februari, iaitu sebelum perayaan (29 Jan hingga 4 Feb) dan selepas perayaan (7-12 Feb).

Bagi memastikan keberkesanan operasi penguatkuasaan ini, JPJ juga akan melancarkan Ops Sisih dan pemeriksaan bas di depo bermula 22-28 Januari.

“Melalui strategi utama penguatkuasaan JPJ dengan pendekatan pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan, agensi telah mensasarkan objektif penguatkuasaaan untuk memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada pengguna jalan raya agar mengamalkan konsep ‘Pandu Cermat dan Sentiasa Selamat Sampai ke destinasi.

“Ini termasuk memberi tumpuan untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan raya, mempertingkatkan Perception Of Being Caught (POBC) kepada semua pengguna jalan raya, membudayakan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang lalu lintas oleh semua pengguna jalan raya dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.”

JPJ melahirkan rasa optimis bahawa melalui strategi operasi penguatkuasaan Tahun Baru Cina ini akan mencapai sasarannya jika mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak.

Sebarang aduan awam boleh disalurkan melalui alamat emel: aduantrafik@jpj.gov.my— DayakDaily