JPJ dan Polis berkolaborasi dalam ops Covid-19

Police manning a roadblock to restrict the movement of vehicles in this file photo.

KUCHING, 16 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia(JPJ)bersama Polis Diraja Malaysia(PDRM) akan melaksanakan Operasi COVID19 mulai 16 hingga 26 Januari ini.

JPJ pada kenyataan semalam berkata, operasi menyasarkan kepada aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard(SOP) Covid-19 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara(MKN).

Ia juga menyasarkan kesalahan-kesalahan lain yang bersangkutan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat(PAD) 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan(LPKP) 1987.

“Gerak kerja seumpama ini akan memberi keutamaan khusus kepada beberapa kawasan atau lokaliti tertentu di seluruh negara yang menjadi tumpuan utama pengguna-pengguna jalan raya.

“Ops COVID19 akan dilaksanakan melalui rondaan jalan utama negeri dan lebuh raya, sekatan jalan raya yang mengkhususkan kenderaan awam serta pemeriksaan dan pemantauan di terminal bas utama,’menurut kenyataan itu.


Seramai 1,200 anggota JPJ di seluruh negara akan diatur gerak dalam tempoh itu bagi membantu pihak polis di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan(PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.-DayakDaily