JPJ buru kenderaan perdagangan lebih muatan dan merbahaya

Lori diarahkan melalui alat timbang mudah alih yang dipasang di lokasi operasi.

MUKAH, 27 Sept: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak dengan kerjasama JPJ Cawangan Mukah mengadakan Ops Lebih Muatan bagi daerah Mukah serta laluan-laluan utama yang menghubungkan antara Mukah, Igan, Oya serta sekitar laluan ke Bintulu.

Menurut kenyataan akhbar oleh pihak JPJ, operasi selama seminggu itu merupakan inisiatif daripada JPJ Negeri Sarawak dan akan diteruskan pengoperasiannya ke daerah-daerah lain selepas ini.

“Ianya juga bagi memastikan pengguna kenderaan barangan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya semasa beroperasi di atas jalan,” katanya.


Seramai 9 orang anggota dari Unit Operasi JPJ Negeri yang diketuai oleh Ketua Unit Operasinya, Jamaluddin Said.

Operasi dimulakan pada 20 September 2021 di sekitar laluan keluar masuk Mukah serta di sempadan Sibu dan Bintulu.

“Pasukan operasi telah menahan lebih kurang 100 buah kenderaan dengan 72 notis telah dikeluarkan sepanjang tempoh operasi berkenaan dan 35 notis berkaitan lori lebih muatan telah dikeluarkan,” katanya.

Hadir membuat tinjauan di simpang Matadeng, Mukah iaitu salah satu lokasi Ops Lebih Muatan pada kali ini adalah Pengarah JPJ Negeri Sarawak Norizan Jili dan diiringi Ketua Cawangan JPJ Mukah Mohd Hatta Hassim.

Pengarah dibawa meninjau sekitar lokasi operasi oleh Ketua Unit Operasi Negeri dan diberi penerangan dan taklimat mengenai operasi yang telah dijalankan selama seminggu ini di beberapa lokasi di sekitar daerah Mukah.

Pengarah sempat menasihati kepada para pengguna jalan raya semasa operasi tersebut dijalankan agar mereka lebih berhati-hati semasa di atas jalan serta turut menasihati anggota JPJ yang bertugas agar mematuhi SOP sepanjang mereka bertugas.

“Pemandu dan pengusaha kenderaan barangan terutamanya lori adalah dinasihatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan keselamatan mereka dan pengguna lain di atas jalan dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Operasi seperti ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain lagi selepas ini bagi memastikan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan berpandukan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).

“Usaha berterusan JPJ Sarawak adalah untuk memastikan pemandu dan pengusaha lori terutamanya sentiasa mematuhi peraturan di jalan raya agar pengguna yang lain lebih berasa selamat disamping memastikan jalan raya tidak rosak,” katanya. – DayakDaily