KUCHING, 18 Jan: Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Sambutan Tahun Baru Cina di negeri ini mungkin akan dikaji semula.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ini bagi memastikan ia sesuai dengan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat.
“Dalam masa yang terdekat ini kita akan berbincang samada untuk menggunapakai SOP seperti di Kuala Lumpur.
“Memang Sarawak sudah mengeluarkan SOP untuk sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.
“Mungkin ada keperluan untuk kita buat kajian semula sebagai respon kepada cadangan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri Dan Menteri Muda di sini, hari ini.
Antara kandungan SOP yang dikeluarkan JPBNS pada 13 Januari lepas menetapkan rumah terbuka dan aktiviti ziarah dari rumah ke rumah masih belum dibenarkan.
Selain itu, tarian singa atau naga, sambutan di tokong atau tempat awam dan majlis sambutan atau makan anjuran persatuan turut tidak dibenarkan sebagai langkah mengekang jangkitan Covid-19.
Aktiviti yang dibenarkan termasuk hanya keluarga terdekat dibenarkan meraikannya pada hari pertama sahaja. — DayakDaily