JPBB Miri akan kuatkuasakan SOP PKPB Diperketatkan

Datuk Lee Kim Shin

KUCHING, 9 Mei: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah memutuskan untuk memperketatkan Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) Covid-19 khususnya di zon merah Covid-19 dalam bahagian tersebut.

Menteri Pengangkutan yang juga merupakan menteri bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin memutuskan perkara tersebut pada mesyuarat jawatankuasa yang diadakan secara atas talian hari ini.

Katanya, ia bagi membendung penularan pandemik Covid-19 ketika musim cuti dan perayaan.

“Memandangkan bilangan kes positif baru-baru ini meningkat, JPBB Miri telah memutuskan untuk memperketatkan SOP khususnya di zon merah di Bahagian Miri dalam masa yang terdekat.

“Selepas melakukan perbincangan serta mendapat persetujuan daripada semua ahli mesyuarat, segala cadangan telah dikemukakan kepada JPBNS untuk diluluskan dan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau memohon kerjasama daripada semua pihak agar mematuhi SOP yang diperketatkan itu nanti kerana peningkatan kes positif sejak akhir-akhir ini.

“Dulu kita sudah menunjukkan bahawa kita sudah melakukan yang terbaik dan boleh mencapainya pada tahun lepas.

“Saya pasti Miri boleh melakukannya sekali lagi dengan mematuhi SOP (diperketatkan) dan panduan yang akan ditetapkan dengan kerjasama semua pihak,,” ujar Lee.

Tambah beliau lagi, terdahulu Zon Miri telah diklasifikasi sebagai zon hijau (tiada kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu lepas) untuk tempoh yang agak panjang.

Walau bagaimanapun katanya, selepas Kluster Bah Sayap pada 11 Januari 2021, Miri telah diisytihar sebagai zon merah dan kini telah memasuki hampir empat bulan dengan klasifikasi itu.

“Jadi, kita ingin minta kerjasama erat daripada semua mematuhi semua SOP (diperketatkan) yang akan diumumkan kelak.

“Kalau tiada apa-apa hal penting, sila duduk di rumah. Kita berharap dengan kerjasama semua, mudah-mudahan bilangan kes dapat diturunkan,” tambah Lee

Beliau juga menggesa orang ramai untuk tidak melakukan perjalanan rentas daerah untuk balik ke kampung pada musim cuti ini.

Katanya, JPBB Miri melakukan kawalan atas perkara ini dan juga pihak polis sangat tegas dalam mengeluarkan permit, iaitu hanya tertakluk kepada tiga kategori sahaja yang dibenarkan iaitu kecemasan, tugasan rasmi selain perkhidmatan perlu. — DayakDaily