JKM Bintulu salur bantuan segera mangsa kebakaran di Uma Bawang, Sungai Asap

Taddy (kanan) membantu memunggah barang bantuan ke dalam lori yang akan dihantar ke Uma Bawang, Sungai Asap.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 16: Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu pagi ini menghantar bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Uma Bawang, Sungai Asap di Belaga.

Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu, Taddy Ajin bantuan tersebut berupa makanan, barangan dapur dan peralatan memasak.


“Ini merupakan bantuan segera dan awal untuk mangsa kebakaran di dua buah blok rumah panjang iaitu Blok D dan E Rumah Panjang Uma Bawang, Sungai Asap.

“Kita difahamkan sejumlah 43 keluarga iaitu 416 mangsa telah hilang tempat tinggal akibat kejadian tersebut,’katanya kepada DayakDaily hari ini.

Anggota Bomba turut membantu memunggah bantuan segera ke dalam lori.

Taddy menambah, bantuan seterusnya akan menyusul selepas ini dan bantuan segera tersebut adalah untuk mempermudahkan bekalan makanan mangsa buat ketika ini.

Menurut beliau, urusan menghantar bantuan tersebut pada pagi ini turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu.

Sementara itu, Penasihat Kelab Belia Belaga Sarawak (KBBS) Romio Ding menyeru semua pihak tampil menghulurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran.

Romio Ding

“Kita dari Tabung Amanah Bakun, Yayasan Sarawak dan KBBS sedang mengumpul bantuan khusus untuk mambantu urusan persekolahan anak-anak mangsa,”kata Romio.

Kesal dengan kejadian tersebut, beliau mencadangkan agar Balai Bomba dibina di kawasan penempatan Sungai Asap.

Katanya, dalam tempoh lima tahun ini sahaja lebih 10 kejadian kebakaran rumah telah berlaku di sekitar Sungai Asap.

Selain itu, program kesedaran berkenaan keselamatan penyambungan elektrik di rumah harus diadakan, tambah Romio.

Dalam kejadian yang bermula sekitar jam 6 petang semalam, seorang wanita berusia 70 tahun melecur di bahagian belakang badan apabila beliau cuba masuk semula ke rumah panjang untuk mengambil barang.

Kebanyakan mangsa kini menumpang sementara di rumah saudara mara yang tinggal di tiga blok lagi rumah panjang tersebut. — DayakDaily