JKDM rekod hasil kutipan RM42.50 bilion pada 2021

Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 26 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan hasil kutipan mencecah RM42.50 bilion bagi tahun 2021.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia melepasi sasaran awal RM40 bilion yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

“Selain kejayaan kutipan hasil, tahun 2021 juga telah menyerlahkan keunggulan sektor Penguatkuasaan JKDM apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan dadah seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.


“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota JKDM atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik COVID-19 dan bencana alam,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 (HKS40) tahun 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Dengan prestasi sebegini tambah Ismail, JKDM akan terus bergerak maju sebagai Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Beliau yakin ia akan membantu ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia.

Sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 bagi tahun 2022 ini membawa tema “Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data”.

Ujar Ismail, tema ini adalah amat relevan dengan situasi semasa dan bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan serta operasi JKDM ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif.

Ini sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa.

“Perkembangan teknologi digital, khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat, merupakan platform yang penting dan telah diaplikasikan secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam, terutamanya dalam mendepani dampak pandemik Covid-19 yang melanda,” katanya.

Ismail menggesa JKDM memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data. — DayakDaily