Mendiang Simon Dembab Maja selamat dikebumikan

Upacara pengkebumian Simon di Selindung, Engkilili. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 26 Jan: Mendiang bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Simon Dembab Maja selamat dikebumikan di Engkilili hari ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), upacara pengebumian disempurnakan di kampung halaman mendiang di Selindung, Engkilili.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.


Mendiang antara pengasas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 1973 selepas dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dalam kerajaan campuran Sarawak pada 1970 ketika bersama Parti Pesaka.

Kerajaan Sarawak pada masa itu adalah kerajaan pertama yang dipilih menerusi pilihan raya dengan 48 kerusi dan 221 calon yang bertanding.

Mendiang meninggal dunia pada usia 85 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada Sabtu lepas meninggalkan balu Datin Rosalind Siti Jemeni, tiga anak, tiga cucu dan dua cicit. — DayakDaily