JHS tahan lori dengan muatan 36 batang kayu batak

Lori dengan muatan 36 batang kayu batak yang ditahan pihak berkuasa JHS.

KUCHING, 16 Julai: Penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menahan sebuah lori dengan muatan kayu batak disyaki tanpa dokumen sah di Jalan Matang-Batu Kawah, hari ini.

Menurut jurucakap JHS dalam satu kenyataan media, tangkapan kira-kira jam 4.45 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari Pejabat Hutan Wilayah Kuching.

“Kita menahan dan memeriksa sebuah lori yang membawa muatan batang kayu batak. Pemandu lori tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan kayu batak yang dibawa,” kata jurucakap tersebut.


Hasil pemeriksaan lanjut oleh penguatkuasa JHS mendapati lori tersebut membawa 36 batang kayu batak pelbagai saiz tanpa sebarang tanda JHS.

Kegagalan mengemukakan dokumen adalah satu kesalahan dibawah  Seksyen 95 (1), Ordinan Hutan Sarawak, 2015. Anggaran nilai rampasan itu adalah berjumlah RM10,000, katanya.

Kesemua barang kes termasuk sebuah lori, lima unit anak kunci lori dan sekeping kanvas telah disimpan di Pejabat Hutan Wilayah Kuching untuk tindakan lanjut. — DayakDaily