Ops SAR mangsa alami masalah mental belum temui petunjuk positif

Pasukan SAR memulakan operasi hari keempat

Oleh Dean Adam

PAKAN, Julai 16: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang mengalami masalah mental di Rh Christina Kasun, dekat sini, masih belum menemui sebarang petunjuk positif.

Operasi yang memasuki hari keempat itu belum menemui mangsa, Bunjai Sagang, 53.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata tindakan operasi hari ini ialah dengan melakukan pencarian seluas 100 meter radius di kawasan tanaman sawit milik penduduk dengan pecahan dua kumpulan.

Katanya, pencarian pada sebelah petang pula dilakukan di kawasan laluan masuk ke rumah panjang dan dipecahkan kepada dua kumpulan masing-masing dengan satu ekor anjing K9 Bomba dan K9 pihak polis.

Pasukan SAR sedang mencari mangsa.

“Kaedah pencarian adalah bagi mencari jejak atau tapak kaki mangsa yang hilang.

“Namun, operasi gagal mengesan jejak dan tiada petunjuk yang jelas. Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan pukul 5 petang,” katanya di sini, hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan mangsa disedari hilang pada sejak dua hari lalu selepas tidak balik rumah panjang.

Mangsa kali terakhir dilihat keluar dari rumah panjang hanya berpakaian seluar pendek dan tidak berbaju. — DayakDaily