Jerebu tidak menghalang 2,000 menyertai larian Saberkas

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (kanan) melepaskan peserta Larian Saberkas  kategori Larian Perpaduan sejauh tujuh kilometer.

KUCHING, Sept 15:  Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) telah mengadakan acara Larian Saberkas 2019 sempena sambutan Hari Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, di sini, hari ini.

Jerebu di bandaraya ini juga tidak menghalang seramai 2,000 orang menyertai larian itu pagi tadi dari keseluruhannya seramai 3,500 orang yang mendaftar menyertainya.

Larian terbuka kepada ahli dan bukan ahli Saberkas dan terbahagi kepada kategori Larian Perpaduan sejauh tujuh kilometer, Larian Keluarga ( tiga kilometer) dan Larian VIP (satu kilometer).  Semua yang menamatkan larian akan menerima pingat.


Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) menyertai peserta Larian Saberkas  kategori VIP sejauh satu kilometer.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan yang juga Timbalan Presiden Saberkas, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyerahkan kepada budi bicara peserta acara larian itu sendiri samada mereka mahu meneruskan lari atau tidak kerana cuaca yang berjerebu di bandar raya ini.

“Saya fikir semua kita di sini agak cukup cergas, kecualilah ada antara kamu yang menghidap asma atau sebagainya, saya tidak akan mengalakkan kamu menyertai larian pagi ini,”katanya sebelum melepaskan peserta acara larian terbabit bagi kategori Larian Perpaduan sejauh tujuh kilometer dan Larian Keluarga (tiga kilometer).

Katanya jerebu di bandar raya ini juga lebih baik pagi tadi berbanding semalam yang mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) sehingga mencecah lebih 200 yang amat tidak sihat.

“Saberkas  juga sudah lama tidak menganjurkan acara larian ini dengan kali terakhir larian itu dianjurkan ialah pada 2006,”katanya dan berharap selepas ini pertubuhan belia itu akan mengadakan larian terbabit setiap tahun.— DayakDaily