Baru rasmi Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sekolah Daif SK Bandar Bintangor

Baru (duduk dalam jentolak) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sekolah Daif SK Bandar Bintangor.

KUCHING, Sept 15: Menteri Kerja Raya Baru Bian hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sekolah Daif, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, di Bintangor.

Menurut Baru, pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif yang melibatkan SK Bandar Bintangor adalah di bawah peruntukan RM100 juta bagi tahun 2019.

“Program Sekolah Daif ini merupakan “touch point” kepada rakyat dan diberi penekanan dan perhatian oleh pihak Kerajaan.

“Ini adalah usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan disamping menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada guru-guru dan murid-murid sekolah khususnya,” katanya dalam ucapan di majlis itu.

Tambah Baru, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk pembinaan semula dan menaik taraf 32 buah sekolah daif di negeri Sarawak di bawah Peruntukan Pembangunan (DE) tahun 2019.

Selain itu, ujar beliau, Kementerian Kewangan Malaysia juga telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM350 juta menggunakan peruntukan RM1 bilion (bayaran balik pinjaman) daripada kerajaan negeri Sarawak.

Jumlah tersebut adalah untuk pelaksanaan Pembangunan Sekolah Daif (Fasa 1) bagi 37 buah sekolah di negeri Sarawak.

“Di Sarawak, daripada keseluruhan 32 sekolah, 30 buah sedang dalam pembinaan dan 2 buah lagi di peringkat rekabentuk baharu disebabkan keluasan tapak sempit.

“Walaubagaimanapun, dijangka dapat ditender dalam bulan Oktober 2019,” katanya.

Murid-murid SK Bandar Bintangor berkongsi kegembiraan bersama Baru.

Disamping itu, kata Baru, projek menaiktaraf sekolah daif 2019 di negeri Sarawak yang dilaksanakan melalui Peruntukan Pembangunan dibahagikan kepada 12 pakej.

Ianya melibatkan pembinaan sekolah daif di daerah Betong, Seratok, Serian, Samarahan, Kapit, Julau, Bintangor, Tanjong Manis, Daro, Dalat, Kanowit, Limbang, Lawas, Bintulum Belaga, Baram, Subis dan Miri.

“Projek di SK Bandar Bintangor ini adalah di bawah projek sekolah daif tahun 2019 di negeri Sarawak bagi Pakej 5.

“Sekolah-sekolah yang lain di dalam Pakej 5 ini adalah SK Ulu Entaih dan SK Ulu Entabai, Julau,” katanya.

Projek pakej 5 ini dilaksanakan oleh Kontraktor Tetuan Cekapplex Sdn Bhd dengan kontrak bernilai RM7,118,115.10.

Tempoh pembinaan adalah selama 5 bulan bermula pada Sept 4 dan dijangka siap pada Feb 3, 2020. — DayakDaily