Zuraida: PH Sarawak bakal tampil lebih ramai calon wanita pada PRN12

Zuraida (dua dari kanan) bercakap kepada pemberita di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 15: Pakatan Harapan (PH) Sarawak bakal meletakkan ramai lagi calon wanita pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin berkata keputusan itu penting kerana peranan wanita penting dalam memimpin sebuah negara ke arah pembangunan yang lebih sempurna.


“Pada pilihanraya yang lepas, PH Sarawak meletakan 14 calon wanita iaitu enam dari PKR (Parti Keadilan Rakyat), enam dari DAP (Parti Tindakan Demokratik) dan dua dari Amanah (Parti Amanah Negara).

“Dengan sokongan dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), kita harap ramai lagi calon wanita akan brtanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis perasmian Konvensyen Wanita PH dan Jentera Pilihanraya Wanita PH Sarawak di sini, hari ini.

Tambah Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sejak PH mengambil alih Putrajaya pada bulan Mei 2018, pimpinan wanita telah mencapai 14 peratus.

“Ianya adalah pertama kali Malaysia mencapai peratusan tersebut dalam tempoh 62 tahun.

“Sebelum ini, pimpinan kerajaan Barisan Nasional gagal melepasi 10 peratus,” katanya.

Justeru beliau menggesa kerajaan Sarawak yang sedia ada iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan ramai lagi pemimpin wanita di dalam kabinet.

Ujar beliau, Sarawak dibawah kerjaan sedia ada selama 58 tahun gagal melepasi satu exco.

“Kalau kita lihat Selangor dan Pulau Pinang di mana PH tadbir, kita sudah melepasi satu jawatan untuk wanita.

“Apatah lagi Abang Johari (Ketua Menteri Sarawak) mengumumkan yang Sarawak hanya akan merealisasikan polisi itu pada tahun 2025.

“Ini saya rasa sudah lewat, dengan 58 tahun sudah berlalu dan mahu dilewatkan lagi enam tahun, ini adalah tidak logik,” katanya. ā€” DayakDaily