Jerebu: NADMA serah 500,000 topeng kepada JPBNS

File pix of a hazy skyline in Kuching.

KUCHING, Sept 10: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat pemantauan rapi keadaan jerebu di Sarawak dan negeri-negeri lain di Semenanjung dan Sabah.

Menurut NADMA, jerebu yang dihadapi masa ini adalah berpunca daripada kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia iaitu jerebu merentasi sempadan, mengikut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan berasaskan laporan Metrologi Malaysia (MET) dan National Disaster Command Centre (NDCC).

“Selain surat memohon kerjasama untuk menangani isu jerebu daripada Menteri MESTECC kepada kementerian berkaitan di Indonesia, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Amb. Zainal Abidin Bakar juga telah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Luar Negeri Indonesia (KEMLU) pada 9 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Tambah NADMA, antara yang dibincangkan adalah implikasi negatif yang menimpa rakyat Malaysia akibat dari jerebu yang semakin teruk.

Antara lain, NADMA berharap agar pihak Indonesia akan terus memberi penekanan terhadap usaha pemadaman dan pemantauan yang berterusan serta usaha-usaha pencegahan yang konkrit supaya pembakaran dan jerebu rentas sempadan tidak berulang.

“Malaysia sentiasa bersedia untuk berkerjasama, berkolaborasi dan menghulurkan sokongan dan bantuan teknikal.

“NADMA juga telah membuat perolehan 500,000 topeng muka dan telah dihantar kepada JPBN Sarawak,” katanya.

Di samping itu, NADMA dan Kementerian Pendidikan Malaysia sedang menyelaraskan perolehan topeng muka untuk dibekalkan kepada sekolah-sekolah di negeri yang terkesan. — DayakDaily