Jerebu: 14 titik panas dikesan di kepulauan Borneo

Laman web ASMC menunjukkan 14 titik panas terdapat di sekitar kepulauan Borneo.

KUCHING, Julai 30: Kepulauan Borneo sudah mula dikesan berlaku titik panas melalui satelit yang mungkin diakibatkan pembakaran terbuka dan boleh menyebabkan masalah jerebu di rantau ini.

Mengikut laman web, Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) keseluruhannya sebanyak 14 titik panas dikesan melalui satelit diseluruh kepulauan Borneo hari ini dengan tiga titik panas terbabit terletak di Sarawak dan satu titik panas di Sabah.

Laman web ASMC itu yang dihubungkan dengan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengawasi masalah jerebu mendedahkan di Sarawak, dua titik panas terbabit terletak di kawasan Tanjung Kidurong dan Sebauh di Bintulu manakala satu lagi di Kuala Baram, Miri.

Di Sabah pula, hanya ada satu titik panas telah dikesan terletak di Hutan Simpan Sungai Menkuwagu berhampiran Keningau.

Manakala sebanyak 10 titik panas dikesan sekitar Kalimantan dengan dua darinya berhampiran sempadan Sarawak, tiga titik berhampiran Batakan dan satu di Longkali, Kalimantan Timur, dua berhampiran Sampit di Kalimantan Tengah dan dua di Kalimantan Barat.

Mengikut laman web JAS pula, bagi indeks pencemaran udara (IPU) di Sarawak sehingga jam 8 malam ini tiada stesen melebihi IPU 50 yang sederhana dengan yang tertinggi ialah di Bintulu mencatatkan IPU 35, manakala IPU bagi Kuching (22), Samarahan (21), Sri Aman (12), Sarikei (18), Sibu (22), Mukah (18) dan Miri (29).

Hanya ada satu kawasan di Semenanjung telah mencatatkan IPU 55 iaitu Balok Baru di Pahang. — DayakDaily